Blogger news


Budayakan Sunnah "Jazakallahu khaira"

Soalan:


Pada satu hari, saya menolong seorang pak cik. Kemudian beliau mengucapkan “jazakallahu khaira” kepada saya sebagai tanda terima kasih. Saya cukup tertarik dengan kata-kata tersebut. Itulah pertama kali saya mendengarnya. Adakah kita disunatkan mengucapkannya seperti mana sapaan assalamualaikum?

Jawapan: 

RINGKASNYA: Pak cik tersebut telah menunjukkan satu contoh akhlak mulia yang sangat baik untuk dicontohi. Memang benar bahawa Nabi kita s.a.w. pernah mengucapkan lafaz tersebut kepada sesiapa yang pernah melakukan kebaikan kepadanya. Ia satu sunnah yang perlu kita budayakan. 

HURAIAN: Salah satu tanda seseorang itu memiliki akhlak yang mulia adalah dia akan membalas setiap kebaikan yang dilakukan kepadanya. Allah berfirman dalam surah al-Rahman ayat 60 yang bermaksud:

“Tidak ada balasan atas kebaikan yang dilakukan kecuali kebaikan jua.”

Nabi Muhammad s.a.w. mendidik umatnya agar membalas setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang kepada kita. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang melakukan kebaikan kepada kamu, maka balaslah kebaikan yang telah dilakukannya itu.

Jika kamu tidak memiliki sesuatu untuk diberi sebagai balasan atas kebaikan yang dilakukan itu, maka hendaklah kamu mendoakan kebaikan kepada saudaramu itu, sehingga engkau merasa telah membalas kebaikannya.” (Riwayat Abu Daud)

Justeru, jika kita tidak mampu untuk membalas kebaikan dengan memberi sesuatu hadiah kepada rakan kita atau menghulurkan sebarang bantuan dalam melakukan sesuatu kerja maka kita hendaklah membalasnya dengan mendoakan kebaikan kepada rakan kita tersebut. Barangkali doa tersebut boleh menjadi sebab kebahagiaannya di dunia dan di akhirat.

Ungkapan Sunnah

Rasulullah sendiri mengajar kita ungkapan doanya. Usamah bin Zaid r.a. berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang dilakukan kebaikan kepadanya, maka hendaklah dia berkata kepada orang yang melakukan kebaikan kepadanya itu: ‘jazakallahu khaira’. Dengan demikian, dia telah membalas kebaikan tersebut dengan sebaik-baik balasan.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Dalam kita Faid al-Qadir disebut bahawa ucapan “jazakallahu khaira” ini bermaksud “aku memohon semoga Allah mengurniakan kebaikan yang banyak kepadamu sebagai balasan atas kebaikan yang engkau lakukan.”

Bukan setakat hanya berpesan, bahkan Baginda sendiri melazimkan diri mengucapkannya. Dalam sebuah hadis yang panjang Baginda menyebut dengan maksudnya:

“Wahai kaum Ansar, jazakumullahu khaira (semoga Allah mengurniakan pelbagai kebaikan kepada kalian). Sesungguhnya kalian merupakan golongan yang sangat menjaga akhlak dan jati diri serta memiliki sifat yang sabar.” (Riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim)

Budaya Sahabat

Bahkan para sahabat juga sentiasa mengucapkan doa ini sesama mereka. Dalam kitab Musannaf Ibn Abi Syaibah ada disebutkan bahawa Sayidina Umar pernah berkata:

“Jika kalian tahu apa yang terdapat dalam ucapan ‘jazakalllahu khairan’, nescaya kalian semua akan memperbanyakkan sebutannya sesama kalian!”

Manakala dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim pula ada dinyatakan bahawa seorang sahabat Nabi yang bernama Usaid bin Hudair pernah berkata kepada Sayidatina Aisyah: 

“Jazakallahu Khaira. Demi Allah setiap kesusahan yang engkau lalui selalu membawa kebaikan bagi dirimu dan seluruh kaum Muslimin.”

Syeikh Soleh al-Uthaimin dalam mensyarahkan hadis yang berkaitan menyatakan bahawa apabila Allah mengurniakan kebaikan sebagai ganjaran atas jasa baik yang dilakukan oleh seseorang, maka kurniaan kebaikan itu merupakan kebahagiaan di dunia dan akhirat kepada orang yang melakukan kebaikan tersebut.

Tahniah kepada pak cik mengungkapkan ucapan yang pernah diucapkan oleh Nabi kita s.a.w. dan berusaha mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga saudara juga boleh mengucapkan ucapan yang baik ini kepada sesiapa yang melakukan kebaikan kepada saudara.

Panduan

Sebutlah ucapan itu selengkapnya iaitu “jazakallahu khaira”. Elakkan hanya mengucapkan “jazakallah” sahaja. Hal ini kerana Nabi sendiri menyebutnya dengan lengkap . Jika untuk lelaki disebut “jazakallahu khaira”. Manakala untuk perempuan pula disebut “jazakillahu khairan”. Lafaz “jazakumullahu khaira” disebut untuk kumpulan yang ramai. Selamat beramal dengan sunnah Rasulullah yang tercinta.

Wallahu a’lam.



Mengenai penulis:

Salehuddin Abu Samah

Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah. Kini bertugas sebagai Timbalan Pengurus, Jabatan Syariah Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah berguru dengan ramai ulama antaranya Syeikh Abu Bakar al-Jazairi (Ulama besar di Masjid Nabawi).

Artikel ini diambil daripada majalah al-Ustaz, isu no. 5, “Solat Jamak Qasar Sedekah Daripada Allah”
{[['']]}

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

INSTA!

Join GanG KelajuAn

KOMEN TERKINI!